Selamat datang di Kawasan Penyair Brunei Darussalam. Terima kasih atas kunjungan Anda

Minggu, 19 Desember 2010

Cikgu Mansor (Sheikh Mansor)


Menulis memang sudah menjadi semacam asam garam hidupku. Aku masih menyimpan baik sebuah antologi ‘Nyanyi Sunyi‘ karya penyair agung, Amir Hamzah, yang dihadiahkan kepadaku ketika berumur 12 tahun. Malangnya, aku tidak ingat langsung siapa yang menghadiahkannya, dan mengapa beliau berbuat demikian. Mungkin ianya hadiah dari Ayahku – kerana (mungkin) beliau ingin mengalihkan kegemaranku yang saat itu amat suka menyanyi…, maka antologi tersebut diharap dapat membuat aku lebih minat menulis dan berpuisi.
(Ayahku telah meninggal pada tahun 1988 setelah merengkok di Pusat Tahanan Politik di- Jerudong, NBD, sejak tahun 1974. Tetapi, aku tidak akan pernah membubuh perkataan ‘al-marhum’ atau ‘arwah’ kepada beliau kerana sesungguhnya aku tidak pernah merasakan ‘kematian’ beliau. Yang kutahu pasti, hanya jasad beliau yang terkubur, tetapi ‘roh’ beliau tetap ada untuk bersama kami.)
Bila belajar membuat puisi tanpa guru, hasilnya memanglah puisi-puisi ciplakan yang dianyambenen dan ada pula yang ditokok-tambah di- sana-sini, asal menimbulkan sedikit kelainan dari puisi asal. Kecurangan tersebut aku lakukan iseng-iseng sahaja, hanya untuk kepuasan diri makanya hasil kegiatan songsang tersebut hanya tercatit di lembaran-lembaran antologi itu sendiri.
Aku memilih untuk mengikuti jurusan sastera se waktu di Tingkatan Empat. Aku merasa beruntung kerana buku kajian untuk sajakketikam itu ialah antologi Suara Tujuh yang mengikut Datuk Kemala sebagai salah seorang penulisnya, adalah menghairankan, kerana antologi tersebut sebetulnya adalah himpunan sajak-sajak protes. Beliau menambah, mungkin kerana itulah banyak puisi yang dihasilkan penyair Brunei ‘bersemangat’.
Namun demikan, almarhum Datuk Usman Awang adalah penyair yang paling kuhormati. Sajak-sajak almarhum bagiku amat mudah dicerna dan dihayati. Bahasa puitis almarhum tidak terlalu bombastik dan tidak tergolong dalam golongan penyajak kabur. Aku terkilan kerana tidak sempat berguru dengan almarhum biarpun pada tahun 1981, tiket penerbanganku untuk ke Kuala Lumpur ketika itu sudah ada di tangan. Namu, dua hari sebelum bertolak aku mendapat satu panggilan telefon dari abang sepupuku, almarhum Dato Prof. Dr. Mahmud Saedon, menasihatkan aku supaya mengundur tarikh keberangkatanku ke enam bulan kemudian, apabila ITM memulakan pengambilan siswa baru. Almarhum abang sepupuku menyatakan kekhuatiran beliau tentang wang 5 ribu yang akan kubawa bersama akan habis sebelum semester bermula. Saat itu aku benar-benar terkedu dan langsung tidak berkesempatan untuk menerangkan alasan mengapa aku perlu berangkat awal ke Kuala Lumpur.
Tiga bulan kemudian, aku mendapat pelawaan untuk memulakan kerjaya dengan Syarikat Minyak Brunei Shell, di Seria. Luka hatiku menerima panggilan telefon almarhum abang sepupuku 1981 itu sesungguhnya sampai kini tidak pernah terubat. Kadang-kadang terlintas pertanyaan, kalaulah aku sampai mengambil diploma Perhubungan Awam saat itu, bagaimana pula keadaan hidupku hari ini? Cita-cita tersebut telah terkubur bersama terkuburnya harapanku untuk berguru dengan almarhum Datuk Usman Awang yang sampai sekarang pun masih sangat-sangat saya kagumi.
Al-Fatihah…
Hasil karyaku hanya tersiar di penerbitan kerajaan (majalah Bahana, DBP) setelah 30 tahun menulis. Pada saat-saat awal penulisan, majalah sekolah juga enggan menyiarkan hasil penulisanku. Aku telah terkena badi ‘Kehilangan Nama‘ seperti yang termuat di dalam antologi Suara Tujuh yang aku sebutkan tadi. Sajak pertamaku yang berhasil terbit adalah berjudul “Pecah dan Perintah‘ dikeluaran bulan Mei, 2001. Ironisnya, sajak tersebut kemudiannya disepakatkan untuk menerima anugerah Kreatif Bahana – DBP/Brunei Shell pada tahun yang sama. Alhamdulillah… Dalam hal ini, aku perlu mengucapkan jutaan terima kasih kepada editor BAHANA saat itu, Pengiran Haji Aji dan Pemangku Pengarah DBP,
cikgu Haji Hakim bin Haji Mohd. Yassin, dua orang yang bertanggungjawab membuka ruang untuk aku turut mnceriakan alam penulisan di Negara Brunei Darussalam.
Kegiatan bahasa, sastera dan budayaku seterusnya mula berkembang sedikit demi sedikit sejak dari itu. Aku dipelawa oleh sdra. Zefri Ariff (ZA BRunei) untuk menemani beliau (dan Adi Swara) pergi memenuhi undangan ke The 1st. International Poetry Festival, di Medan. Mulai dari itu aku tidak menoleh ke belakang lagi dan terus maju setapak demi setapak, biarpun perlahan, tetapi pasti…
Dalam kembara sasteraku, alhamdulillah, aku dapat juga bertemu dengan 2 dari 7 penyumbang antologi Suara Tujuh yang ‘kami’ kuliti semasa di Tingkatan Empat dan Lima akhir tahun 1970′an dulu. Antara dua penyair tersohor tersebut ialah Datuk Baha Zain dan Datuk Kemala. Untuk Datuk berdua ini, percayalah bahawa saya adalah anak didik Datuk. (Sumber http://camarputih812.wordpress.com)

Pada Saat Aku Mati II
(catatan buat isteri tercinta, Ulfa)
i
setiap detik yang berlalu. Aku tahu
menghampirkan aku ke liang lahad itu…
syukurku kepada-Nya. Menganugerahi nikmat
meniti hari-hari terakhirku bersamamu…
ii
hari ini genap tiga tahun kebersamaan kita
kebahagiaan terserlah dengan kaletah Batrisya
- puteri yang kau hadiahkan
- dan putera yang sebentar akan datang
pengikat kasih-sayang
yang kupasti tak pernah akan padam.
kasih-sayang yang kautunjukkan padanya
juga perhatian mereka. Mengundang hiba…
Sungguh. Kalau besok maut menjemput kudatang
aku akan pergi dengan senyuman…
iii
sejenak saat itu menyaksikan deritamu
bergelut dengan maut saat melahirkan
menyambung zuriat ahlul-baits. Dalam redha
dan menyedari kerdilnya diri…
iv
sesungguhnya, kalau besok aku dipanggil-Nya pulang
aku redha. Kuyakini sepenuh hati. Kasih-sayangmu pada mereka
yang terus subur. Membimbing dan mengasihi mereka. Selamanya…
dan aku tahu leluhur budi datuk dan nenek mereka
yang turut menumpahkan sepenuh kasih-sayang
- pendidikan al-Quran
- dan tunjuk-ajar tentang erti kemuliaan.
v
namun, aku akan terus memohon kepada-Nya
memberi izin untukku turut menyaksikan
anak-anak kita membesar. Hingga mampu berdiri sendiri
cekal dan tabah. Menghadapi masa depan yang semakin gundah.
dan aku pun terus ingin menikmati erti kasih-sayang
- menyelami lubuk cintamu. Membahagiakan
- mendengar tawa-tangis mereka. Yang mengasyikan

Camar Putih
11.52 malam, 27 Ogos 2009

Bicara Tentang Perang

kita merasa sedih
membicarakan kematian itu
mengutuk musuh
dari bilik berhawa dingin.
.
belasungkawa silih berganti
bersama tibanya body-bag kaku
“dia seorang pahlawan…”
demikian katamu di depan sang balu.
.
nyawa yang mereka pertaruhkan
demi sebuah maruah. Keangkuhan
Jendral tak pernah tumpas
dan cerut yang tak lepas di bibir.
.
darah yang tersimbah
pencuci noda manusia tamak haloba
diiringi derai airmata mereka yang ditinggalkan
masa depan yang semakin kelam.
.
keperitan kesan perang itu memang tak terfikirkan
selagi kita tetap asyik keenakkan mendengar dentum mesingan
menghargai kematian dengan kiriman bunga-bunga
takziah dan mimik sedih yang terlalu dibuat-buat.
.
kematian itu memang sudah tidak ada untuk pejuang
bagi mereka hanya ada kehidupan di hari kemudian
tangisan anak yang kehilangan ayah
dan pertanyaan yang tak kan mungkin bisa terjawab.

Telanai, 12.49 pagi, 12 Jun 2003

Bagiku Perang

perang itu adalah:
penderitaan…
kesengsaraan…
duka lara…

perang itu adalah:
kematian tragis…
tangisan hiba…
sejambak ucapan takziah…

perang itu adalah:
mayat-mayat bergelimpangan…
selangit kata sanjungan…
tembakan kehormatan…

perang itu adalah:
kiriman body-bag…
untuk balu yang sayu…
untuk anak-anak termangu…

bunga popi lambang darah tertumpah ditadah
adalah pesta keghairahan menyambut perang itu…

Telanai, 11 November 2002




Buku ini aku pinjam


(kukembalikan nanti dengan hatiku)



buku ini aku pinjam
bukan untuk membaca isinya. Tapi hatimu.
.
buku ini aku pinjam
untuk besok kukembalikan. Dengan salam kasihku.
.
betapa bahagia saat itu
dapat melihat kelibatmu
biar hanya sebentar
senyummu itu. Akan kubawa ke dalam mimpiku.
.
indah matamu bercahaya
wajah melankolis, ayu dan manja
pipi bak pauh dilayang
suara lemak merdu
betis bagai bunting padi
dan kau tanya padaku erti semua itu
aku tak tahu, singkat jawabku, diiringi ketawa lirihku
(ia kudapat dari sebuah buku yang kupinjam dulu)
aku tersipu.
.
namun, senyumanmu tetap tersungging di bibir merah bak delima
aku cinta, sungguh mati, aku cinta
dan kau tanya padaku apa erti cinta
bagaimana mungkin aku tahu untuk menjawabnya
(buku mengenainya belum pernah aku pinjam).
.
loceng sekolah jam sepuluh setia kunantikan
bergegas lari ke kelasmu untuk sebentar menikmati senyummu
dan seperti selalu, aku ingin pinjam buku.
.
di rumah, bukumu itu kurenung saja
harum baunya seharum peluhmu
aku rindu padamu.
.
maka, hari-hari bukumu aku pinjam
supaya dapat bertemu dan melihat mata indahmu.

Telanai, 28 November 2002

Untukmu Sarpunin,Doaku Semoga Kau Bahagia
(Untuk seorang pejuang kemerdekaan)

Seorang tua dengan topi lusuhnya
Riang melayani pelanggan mengisi minyak kereta
Senyum tak lepas di bibirnya
Ketawanya riang dan ramahnya ketara.
.
Tak pernahkah dia berduka?
.
27 tahun lamanya beliau merengkok di sana
Apakah hanya senyum ketawa diajarkan kepadanya?
.
“Apa khabar pack cik?” Sapaku mesra
“Baik nak…” pendek jawabnya dengan senyum ceria
Wajah bersih cermin hatinya yang tulus
Redha pada ketentuan Ilahi Ya Kuddus…
.
Tidak adakah dendam di hatinya sempat hatiku berbisik…
.
Tidak pernah kumendengar beliau mengeluh
Pun mengungkit pengalamannya tersisih
Biar separuh hidupnya kutahu merintih…
.
Biar tanpa bintang kebesaran tersemat di dada
Pengorbanan mereka biar semua orang mencela
Jalan kita yang dirintis mereka
Dengan titisan darah dan airmata.
.
Usia selanjut itu dia tegap berdiri
Bukti hakikat hidupnya diberkati…
.
“Pak cik, kutahu kebahagiaanmu adalah di syurga nanti…”
Telanai, 6.57 pagi, 14 Februari 2003
Badinda Sudah Tidak Lagi Ketawa

kembali dari menghadap-Nya di Arash sana
setelah bicara dengan Musa, Ibrahim dan Isa
permohonan termakbul solat lima waktu sehari saja
dan kesempatan mengintai neraka…!
.
perjalanan di waktu malam
pekat…
menyeramkan…
berteman malaikat
namun tetap dibasahi keringat…!
.
Masjidil Haram – Baitul Maqdis, selangkah cuma
kuda bersayap? Ah, jangan bikin aku ketawa
zat Allah…
makrifat-Nya…
kun fa ya kun singkat perintah-Nya…
upaya Maha Pencipta
.
dari Yaman ke Pelastin suatu waktu dulu
istana Balqis dapat dipindah mereka sekelip mata cuma
dan Sang Ratu tunduk, patuh pada keesaan-Nya
senyum Sulaiman pada Hud-Hud yang turut ketawa…
.
namun, ketawa itu hilang dari diri Baginda Rasulullah
lidah yang digunting bercantum dan digunting terus
kepala hancur dihempas ke batu bercantum dan dihempaskan lagi
daging busuk yang dipilih untuk dimakan bersama hanyir darah dan nanah
cukup meloyakan. Menakutkan. Mengerikan…
balasan bagi umatnya yang kufur nikmat
bagi tangan-tangan yang di atas dan di bawah
pengadu domba, penzina dan pengamal riba…
.
syurga Allah tetap untuk Baginda
namun, saking takutnya hingga tak lagi mampu ketawa
sedang kita yang akan meniti Siratal Mustaqim
tetap terus ketawa keasyikan
berdekah-dekah bagai nak membelah dunia…!
ayo, ketawalah sepuasmu selagi termampu…
sebelum ajal menyapa di muka pintu kamarmu…!

Telanai, 8 November 2002

Akhirnya

bagai daun hanyut ke laut
terapung dan kembali lagi
menari di bibir pantai
begitulah, hati kita. Akhirnya:
biduk lalu kiambang bertaut
menerjah bisik-bisik sumbang
bertahan dipukul gelombang
bersatu. Akhirnya:
berjalan seiring. Bernafas seirama
menjejak kasih yang hilang
mendakap angan terbuang
membujur lalu. Akhirnya:
melintang patah
untuk sama tegak berdiri
merangkul erat maruah diri
janji pada Ilahi. Akhirnya…

Telanai, 12.30 tengahari, 3 September 2004

Jumat, 26 Maret 2010

Ali Termizzi HR

Dua teman berehat dibilikku.

Diam
ungkapan kata berupa
api yang di siram air
Terasa gembira aku dibuatnya
esok mungkin mereka tiada
mungkin juga mereka datang
atas kebawah mereka mencari
namun akhirnya setuju juga
Biar mereka berehat
elakkan daripada keletihan
rasa hangat membuang kesejukkan
entah tiba-tiba cuaca mendung
hatiku gembira
aku biarkan mereka berdua berkata riang gembira
takut nanti kecewa dini hari
Dia terasa kelat
ingin mendampingi di sisi ranjang
barisan empat kerat terpaku
itulah tanda air liur dah kering
lintas pikiranku melayang
ikut melayang
kaku
kaku
untuk pergi belayar…….

05082004.


Dakwat seni.

Tangan memegang sebatang pen
pen diciptakan untuk menulis
mereka bentuk ciptaan sendiri
dihiasi dengan huruf yang diatur
Terpampang kata berbagai maksud
maksudnya indah seribu erti
terpancar sinar seni
membawa ingin untuk mengetahui
Dakwatnya tersimpan di atas kertas
menulis itu adalah seni
bagaikan lukisan membawa erti
erti hidup seorang bergelar seni
Terima kasih kepada dakwat
memberi jasa ilmu pengetahuan
penting sekali mengejar impian
khas diciptakan untuk semua
gunakannya dengan sebaik mungkin
rasailah nikmat Seorang Penulis…
190606.


Bila engkau bermimpi lagi.


Adakah mimpimu itu benar
akan terjadi bila engkau bangun dari tidurmu
nyata betul dihadapan
maya terkangkang melihat kenyataan
biar betul terjadi
tanpa diduga
muncul lembaga yang dimimpi-mimpikan
terkejut terhumban jantung di dalam
badan terketar-ketar menjadi pengsan
terbang melayang ke dunia mimpi ngeri…

060706.


Bagaikan mawar mekar mewangi.

Bagaikan mawar mekar mewangi
antara cintaku yang dahulu dan sekarang
gerak bungamu yang dahulu tak sewangi
aku bagaikan terbang khayal bersamamu
itulah maksudku yang dahulu inginku sampaikan
kerap kali membuatmu sedih terluka
ampun dan maaf harusku katakan
namun itu cuma mainan fikiran
Mawar mekar mewangi
antara kasihku yang dahulu dan sekarang
wangian terus menerpa kedadaku
aku rindui belaianmu
rindu belaianmu itu hanya mainan khayalanku
Mekar mewangi
entah mengapa antara sayangku yang dahulu dan sekarang
kerap kali termenung ingin disampingmu
amat menyintai wajah yang disanjung
rasa disanjungi itu rupanya mainan mimpiku


Mewangi

empat hariku mencari antara hidupku yang dahulu dan sekarang
wajahmu tetap tersimpan disanubariku
antarkanlah suatu bekalan untukku
Nisan tempatmu mengadu
gapailah tanganku buat kali terakhir
ini adalah mainan kehidupanku!
Ali Termizzi HR. Brunei Darussalam. 25122004.
Ilham datanglah kepadaku!
Emm…
apa ya?
lihat dakwat sudah tertulis
kertas putih sudah terpalit
dakwat biru itulah dia
Aku tulis kerana apa?
mungkin tiada apa-apa
cuma mencari sesuatu yang baru
malah Cuma ini saja yang aku mampu
Aku minta maaf
kerana puisi yang kurang bermakna
inilah saja yang dapatku luahkan
mencari ilham tak kunjung tiba
malah takku sangka itu dia
Inilah dia puisiku
ilham sederhana cukup bermakna
mencari-cari di mana-mana
kutulis saja di kertas ini
itulah ilham datang kepadaku…
Terima kasihku ucapankan
kepada pencinta puisi yang membacanya…

070706.